Select Page

Lagi Sekolah di Tutup

JALAN ke Pida 1, Kubang Pasu, Kedah yang ditutup bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang dikaitkan dengan Kluster Sivagangga. FOTO arkib NSTP

JALAN ke Pida 1, Kubang Pasu, Kedah yang ditutup bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang dikaitkan dengan Kluster Sivagangga. FOTO arkib NSTPDziyaul Afnan Abdul [email protected]

SEBUAH lagi sekolah di Kuala Sanglang dekat Kangar diarahkan untuk tidak beroperasi sehingga diberitahu kelak berikutan terletak di dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chin Hun dengan semua guru diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin di rumah (HIO).

Menurutnya, sesi pembelajaran boleh dibuat secara dalam talian atau penjaga murid boleh ke pondok pengawal sekolah bagi mengambil kerja rumah yang ditinggalkan oleh pihak sekolah.

“Sekolah sebenarnya tidak ditutup, tetapi apa yang berlaku apabila pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan arahan agar guru-guru menjalani perintah HIO, jadi tiada guru yang boleh hadir untuk mengajar.

“Jadi istilah yang sesuai adalah sekolah tidak beroperasi seperti mana yang berlaku ke atas dua sekolah sebelum ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai kemungkinan sekolah yang terletak berhampiran di Kuala Sanglang akan dihentikan operasinya, Naharudeen berkata, pihaknya masih menunggu arahan daripada MKN berdasarkan situasi semasa penularan wabak.

“Setakat ini, tiada arahan yang akan dikeluarkan memandangkan pihak JPN juga menanti keputusan MKN dari semasa ke semasa.

“Jadi ibu bapa yang tidak boleh masuk ke kawasan pelaksanaan Temco boleh berhubung dengan pihak sekolah atau guru berkenaan sesi pembelajaran anak mereka,” katanya.

Sebelum ini, dua sekolah di mukim Sanglang diarah tidak beroperasi selama seminggu hingga Jumaat ini berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda di dua kawasan di dalam mukim berkenaan.

Dua sekolah terbabit adalah SK Sanglang dan SMK Sanglang berikutan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dan sehingga kini tiga sekolah diarahkan untuk menghentikan operasi bagi membendung wabak berkenaan.

Sumber : Harian Metro

About The Author

Shares